FESTIVAL BUNGA DAN TAMAN PUTRAJAYA 2024 (FLORIA DIRAJA PUTRAJAYA 2024)
Tempoh Acara: 22 Ogos hingga 1 September 2024
Lokasi: Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya
Muat Turun Lokasi Muat Turun Jadual Program & Aktiviti Google Maps Waze
Masa Acara:
• 9.00 pagi – 10.00 malam (Isnin – Khamis)
• 9.00 pagi –12.00 malam (Jumaat – Ahad)
Maklumat Penganjuran
i. Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Floria Diraja Putrajaya 2024 buat kali ketiga belas (13) pada tahun ini dimana acara ini telah bermula sejak tahun 2007.
ii. Floria Diraja Putrajaya 2024 juga merupakan salah satu signature event dan produk pelancongan PPj bertaraf antarabangsa yang telah menarik ribuan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara ke Bandar Putrajaya serta telah merekodkan lebih 1 juta pengunjung yang hadir semasa penganjurannya pada tahun 2022.
iii. Floria Diraja Putrajaya 2024 pada tahun ini menggunakan Bunga Petunia sebagai bunga tema kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung.
iv. Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 22 Ogos 2024.
Komponen Utama Floria Diraja Putrajaya 2024
i. Komponen utama Floria Diraja Putrajaya adalah pameran lebih 700 ribu bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan disusun hias dalam bentuk taman dengan gubahan yang menarik.
ii. Tarikan utama pameran adalah taman yang dibina oleh lebih daripada 30 jabatan dan agensi kerajaan termasuk PPj sendiri, agensi korporat dan swasta, persatuan dan pengusaha bunga serta komuniti Putrajaya yang bakal mengetengahkan gabungan idea segar, teknik tersendiri serta reka bentuk unik dalam seni pameran taman.
iii. Antara agensi dan syarikat yang turut serta dalam pameran tersebut adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Landskap Negara (JLN), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Putrajaya Holding, Pulse Group dan lain-lain.
iv. Tarikan lain dalam komponen pameran adalah Astaka Flora yang mempamerkan bunga-bungaan dalam bangunan yang menghimpunkan penyertaan daripada 10 buah negara (Malaysia, Thailand, Vietnam, Singapore, Filipina, Taiwan, Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Brunei) bagi kategori gubahan bunga (flower bouquet), pameran dan
pertandingan pelbagai kategori orkid, bonsai serta terarium.
v. Terdapat juga Taman Malaysia Madani dan Taman Diraja yang menjadi tarikan utama bersempena Sambutan Kemerdekaan ke-67 tahun.
Komponen Gerai Jualan Yang Terdiri Daripada:
i. 30 lot gerai jualan Garden Bazaar yang menjual pelbagai produk landskap, hortikultur dan perkebunan;
ii. 14 lot Community Garden yang menjual hasil dan produk pertanian bandar dari Kebun Komuniti Putrajaya, pameran dan pemberian khidmat nasihat pertanian daripada Jabatan Pertanian dan Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI);
iii. 8 lot gerai jualan kraftangan produk seni dan kraf tempatan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM); dan
iv. 164 lot gerai jualan makanan dan minuman yang dikenali sebagai Feast Garden yang menyajikan pelbagai masakan tempatan dan antarabangsa dan turut disediakan kapasiti tempat duduk sebanyak 300 kerusi.
Pengisian Floria Diraja Putrajaya 2024
i. Floria Diraja Putrajaya 2024 akan mempamerkan lebih 500 jenis orkid daripada pelbagai spesis dan hibrid yang cantik dan pelbagai warna. Persatuan Orkid Malaysia juga akan menganjurkan pertandingan orkid. Selain pertandingan, pameran orkid juga mengandungi lebih 15 koleksi Orkid Khas yang terdiri daripada nama-nama Diraja dan orang kenamaan.
ii. Di samping pameran orkid, Floria Diraja Putrajaya 2024 juga akan mempamerkan keindahan seni miniatur landskap (terarium) dalam hampir 40 balang kaca lutsinar yang dihasilkan melalui kreativiti pelajarpelajar sekolah, mempamerkan lebih dari 100 unit Bonsai dan juga Pertandingan Bonsai serta suiseki oleh Persatuan Bonsai Malaysia, pameran Floral Masterpiece bertemakan koleksi tumbuhan Highland and Lowland yang menakjubkan.
iii. Floria Diraja Putrajaya 2024 juga diisi dengan lebih daripada 100 aktiviti sampingan seperti bengkel, demonstrasi, larian, berbasikal dan persembahan pentas sepanjang acara berlangsung.
Kemudahan yang disediakan di Floria Diraja Putrajaya 2024
i. Penyediaan kemudahan Surau Kabin sebanyak 2 unit yang boleh memuatkan seramai 15 orang dalam satu masa dan 2 unit Surau di Ancillary Building yang boleh memuatkan seramai 10 orang dalam satu masa;
ii. Selain tandas sedia ada di Ancillary Building, tandas di Monumen Alaf Baru, tandas tambahan turut disediakan bagi tandas Diraja 2 unit, tandas kabin VIP 2 unit, tandas OKU sebanyak 2 unit dan 60 unit tandas bergerak orang awam;
iii. Kemudahan kawasan parkir boleh memuatkan sebanyak 300 unit bagi VIP dan urus setia, manakala 700 unit bagi pengunjung yang hadir;
iv. Kawalan 20 orang anggota Penguatkuasa PPj bagi setiap shif bersama 12 anggota RELA telah diselaraskan bagi mengawal lalu lintas dan aliran trafik serta kawasan parkir;
v. Kemudahan 3 unit shuttle bus secara percuma turut disediakan dengan kekerapan selama 30 minit bermula dari 7.30 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari Isnin hingga jumaat dan sehingga jam 12.30 malam bagi hari sabtu dan ahad; dan
vi. Kemudahan pengangkutan air turut disediakan iaitu 1 unit bot cruise dan 2 unit teksi air yang boleh dinaiki melalui 6 jeti utama (Monumen Alaf Baru, Kelab Tasik, Ayer 8, Marina Putrajaya, Anjung Floria, Taman Botani Putrajaya).